6 Jenis Wanita Yang Lelaki Perlu Elakkan Kalau Tidak Mahu Menyesal
Memilih bakal pasangan hidup tidaklah terlalu susah dan tidak juga terlalu mudah. Pasti ada pelbagai tips yang mudah diperoleh daripada pelbagai sumber. Kali ini, kami akan kongsikan dengan anda tips untuk tidak memilih wanita yang mempunyai sikap-sikap begini. Ini merupakan pesanan daripada Imam Al-Ghazali buat para lelaki.
Suka Mengeluh
Wanita yang terlalu suka mengeluh akan berpotensi untuk menceritakan masalah yang dihadapinya pada orang ramai, sama ada melalui media sosial atau orang yang dijumpainya. Mereka tidak fokus untuk menyelesaikan masalah, malah mengundang keretakan hubungan dengan pelbagai pihak. Ini adalah sikap yang amat bahaya dan mengundang kehidupan yang tidak aman ketika bersama.
Suka Mengungkit
Wanita seperti ini akan mengungkit segala pertolongan dan kebaikan yang pernah dibuatnya pada pasangan atau dalam perhubungan. Sikap ini juga mungkin membawa kepada tindakan merendah-rendahkan pasangan kerana tidak menghargai kebaikannya. Lebih teruk lagi jika suami tersebut lebih rendah pangkat, kewangan atau pendidikan mungkin bakal menjatuhkan maruahnya dan akhir sekali membawa kepada keretakan rumahtangga.
Suka Membanding-Bandingkan
Wanita seperti ini suka membanding-bandingkan pasangan dengan individu lain dan sibuk menceritakan kelebihan lelaki lain pada suaminya. Sama ada bekas suami, bekas tunang, bekas kekasih, atau ahli keluarganya sendiri. Bukan sekadar memuji sahaja, malah ia mengundang konflik apabila kelebihan yang diceritakan merupakan kekurangan suami yang sengaja dibandingkan.
Boros
Wanita seperti ini memiliki keinginan untuk berbelanja besar kepada perkara yang sia-sia. Mereka sibuk berbelanja dan menghabiskan duit tanpa memikirkan keperluan masa hadapan dan keluarga, yang penting keinginan besarnya untuk berbelanja tercapai. Sikap ini sangat bahaya tidak kira suami mampu atau tidak, kerana daripada berkemampuan manusia boleh menjadi sebaliknya jika terlalu boros dan tidak mengikut saranan agama agar bersederhana.
Berhias Berlebihan
Berhias bagi wanita adalah untuk suami, bukan untuk pameran lelaki lain. Namun, jika wanita gagal mengawalnya dan suka berhias secara berlebihan ia bukan sahaja mengundang fitnah malah membazirkan duit kepada perkara yang tidak sepatutnya. Akhir sekali, pelbagai masalah muncul apabila perhiasan diri telah menarik lelaki lain untuk mendekatinya.
Suka Menegur
Sikap suka menegur pada setiap perkara yang dilihat tidak sesuai pada pandangan matanya ini hampir sama dengan ‘suka berleter’, namun ia lebih keterlaluan. Hinggakan setiap perkara yang terlintas di mata, setiap tindakan suami, setiap perbuatan orang lain semuanya dikritik dan dilihat dari sudut pandang yang negatif.
Semoga pesanan daripada Imam Al-Ghazali tentang 6 jenis wanita ini dapat kita ambil sebagai iktibar. Buat para wanita, kita belajar untuk memperbaiki diri dan menjauhi sikap begini dan buat para lelaki pilihlah wanita yang sesuai dengan saranan Al-Quran untuk dijadikan suri dalam hidup anda.